sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Thursday, June 4, 2009

Umat Islam harus bimbing masyarakat lain

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

ALLAH memberitahu mengenai status umat Nabi Muhammad SAW bahawa mereka adalah sebaik-baik umat dalam firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 112 bermaksud: “Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.”

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah mengenai ayat ini, katanya: “Bahawa kamu ialah sebaik-baik manusia untuk manusia lain. Kamu datang membawa mereka dengan belenggu yang melilit pada leher mereka sehingga mereka memeluk Islam.”

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Durrah bt Abu Lahab, katanya: “Ada seseorang berdiri menghadap Nabi ketika Baginda berada di mimbar, lalu orang itu berkata: Ya Rasulullah, siapakah manusia terbaik itu? Baginda menjawab sebaik-baik manusia ialah yang paling menghafal al-Quran, paling bertakwa kepada Allah, paling giat menyuruh berbuat yang makruf dan paling kuat mencegah kemungkaran dan paling rajin bersilaturahim.”

Al-Nasai dalam kitab Sunan dan al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak, daripada Said bin Jubair daripada Ibn Abbas, katanya: “Bahawa mereka itu ialah orang yang berhijrah bersama Rasulullah dari Makkah ke Madinah.”

Ibn Kathir menjelaskan bahawa sebenarnya ayat itu bersifat umum meliputi seluruh umat Islam pada setiap generasi berdasarkan tingkatannya. Sebaik-baik generasi mereka ialah sahabat Rasulullah, kemudian selepas mereka dan berikutnya. Hal ini seperti dijelaskan dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 143 bermaksud: “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia.”

Dalam Musnad Imam Ahmad, Jami' al-Tarmizi, Sunan Ibn Majah, diriwayatkan daripada Hakim bin Muawiyah bin Haidah, daripada ayahnya, katanya: “Kamu berbanding dengan 70 umat dan kamu sebaik-baik dan semulia-mulia umat bagi Allah.”

Umat itu menjadi juara dalam menuju kepada kebaikan kerana Nabinya, Muhammad ialah makhluk yang paling terhormat dan rasul yang paling mulia di hadapan Allah.

Baginda diutuskan oleh Allah dengan syariat sempurna lagi agung, yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi mahupun rasul sebelumnya.

Kenyataan di atas diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Muhammad bin Ali Ibn Al-Hanafiah, bahawa beliau pernah mendengar Ali bin Abi Thalib berkata, Rasulullah pernah bersabda: “Aku telah diberi sesuatu yang tidak diberikan kepada seseorang Nabi pun, lalu kami bertanya: Apakah sesuatu itu, ya Rasulullah. Baginda menjawab: Aku dimenangkan dengan ketakutan musuh, aku diberikan kunci-kunci bumi, diberikan kepadaku nama Ahmad dan dijadikan tanah ini bagiku suci serta dijadikan umatku ini sebagai umat yang terbaik.”

Sayyid Qutb pula menjelaskan maksud ayat daripada surah Ali Imran, ayat 110 di atas, bahawa inilah hakikat yang harus difahami oleh umat Muslimin. Ia supaya mereka mengenal hakikat diri dan nilai diri serta menyedari bahawa mereka dilahirkan oleh Allah untuk menjadi angkatan barisan hadapan yang memegang teraju kepemimpinan. Sebabnya, mereka ialah sebaik-baik umat.

Oleh itu, umat Islam tidak seharusnya menerima kepemimpinan daripada umat lain. Namun, harus bagi umat Islam memberi apa-apa sumbangan kepada umat lain dalam bentuk kepercayaan, kefahaman, sistem hidup, akhlak, pengetahuan dan sains yang betul.

Inilah kewajipan umat Islam yang diwajibkan oleh kedudukan dan matlamat kewujudan mereka. Tanggungjawab ini diserahkan kerana umat Islam layak memikulnya.

Dengan kefahaman kepercayaan dan sistem kemasyarakatan, mereka layak memikul tugas kepemimpinan itu.

Apa yang masih tinggal dan harus diusahakan untuk melayakkan mereka menerajui kepemimpinan adalah dengan kemajuan dalam bidang keilmuan dan pembangunan. Ia sebagai menyempurnakan tugas khalifah mereka.

Nyata bahawa sistem hidup umat Islam menuntut mereka melaksanakan banyak perkara dan mendorong mendahului umat lain dalam segala bidang. Ia dapat dilaksanakan jika mereka benar-benar mengikut dan mematuhi sistem hidup Ilahi serta memahami kehendak tugasnya.

No comments:

Post a Comment