Oleh Noor Shakirah Mat Akhir
SESEORANG yang beriman perlu selalu menilai keimanannya. Untuk itu, individu berkaitan perlu memahami erti keimanan sebenar. Begitu juga perlu mengetahui apa isi kandungan agama Islam yang dianutinya.
Islam adalah agama syumul kerana di dalamnya terkandung pemahaman luas terhadap semua aspek kehidupan. Keimanan dalam Islam adalah satu keimanan menyeluruh.
Islam adalah penutup kepada ajaran Tauhid yang bermula seawal ketika Allah menurunkan nabi Allah Adam ke bumi dan menjadikan bumi sebagai tempat undang-undang Allah itu bertapak.
Sejak itu, Islam kuat tertanam dalam hati setiap manusia yang diberi hidayah oleh Allah. Islam berupaya menyediakan manusia dengan segala keperluan hidup, terutama sebagai kepercayaan iaitu keimanan yang sebenarnya. Ia juga sebagai petunjuk di dunia dan akhirat.
Islam mampu menjawab masalah hakikat kehidupan, kematian, pahala dan dosa. Paling utama, Islam menjadi petunjuk kepada manusia untuk mengatur kehidupan di dunia ini.
Islam menyediakan undang-undang dan peraturan yang mampu mendorong manusia mengendalikan urusan kehidupan mereka. Seterusnya, membawa kepada kebahagiaan (sa'adah) di dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan perjalanan rasul terdahulu. Dengan kedatangan Nabi Muhammad, maka sempurnalah Islam sebagai agama Allah untuk seluruh umat manusia. Tiada lagi utusan Allah selepas Rasulullah. Tiada lagi agama, selain Islam yang diredai Allah. Hal ini seperti firman-Nya bermaksud: "Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredai Islam itu jadi agama bagimu."
Bagaimanakah yang dikatakan Islam sebagai agama lengkap untuk segenap umat manusia? Penjelasannya boleh didapati daripada banyak dimensi, antaranya yang utama:
• Dimensi keimanan
Islam mengandungi satu penyelesaian lengkap untuk persoalan keimanan. Iman dalam Islam merangkumi semua perkara yang manusia perlu tahu. Antaranya persoalan mengenai tuhan, sifatnya, dimensinya, keagungannya dan kekuasaannya. Banyak fahaman yang cuba untuk menyelesaikan persoalan mengenai ketuhanan. Bagaimanapun, kebanyakannya memberi penyelesaian komplikasi apabila cuba pergi lebih jauh mengenai masalah ini.
Islam mampu memberi jawapan lebih mudah untuk manusia memahaminya dan menggunakannya dalam kehidupan seharian. Allah menjadikan agama Islam mudah difahami dan dipraktikkan dalam urusan harian manusia.
• Dimensi ibadat
Sepanjang perjalanan sejarah, manusia sentiasa mencari satu cara bagaimana untuk berinteraksi dan berhubungan dengan alam di luar alam fana ini. Disebabkan oleh kebolehan dan sumber terhad pada manusia, mereka membentuk jalan sendiri untuk menghubungkan diri dengan alam tinggi.
Bagaimanapun, selepas gagal untuk mencapai ketenangan abadi, manusia terus mencari hingga mendapati jalan yang tepat untuk mencapai ketenangan itu. Islam tidak membiarkan manusia mencari sesuatu yang tidak dapat dicapainya. Islam memberikan manusia satu jalan yang paling baik untuk berhubungan dengan alam luar atau tinggi demi untuk mencapai hakikat ketenangan.
Aspek ibadat dalam Islam memimpin manusia dengan jalan yang betul menerusi pelaksanaan solat dan ibadat lain yang mudah serta mampu dilakukan oleh manusia.
Ibadat dalam Islam mempunyai cara pelaksanaan teratur serta objektifnya. Malah, konsep ibadat dalam Islam boleh menjadi lebih luas dan mencakupi keseluruhan kegiatan harian manusia jika bersandarkan kepada Allah.
Matlamat akhir seluruh ajaran Islam adalah pembentukan akhlak mulia. Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Riwayat Ahmad ibn Hanbal).
Hal itu menunjukkan seseorang Islam dan beriman perlu menampilkan akhlak mulia dalam kehidupannya. Akhlak mulia juga bukti keimanan seseorang. Untuk melahirkan akhlak mulia, perlunya proses tazkiyah al-nafs berterusan. Proses ini merangkumi banyak aspek penyucian jiwa, termasuk mujahadah al-nafs dan muhasabah al-nafs.
Proses melawan kehendak nafsu al-ammarah dan menilai serta menghisab perbuatan sendiri perlu dilakukan. Ia untuk memastikan orang beriman tidak akan terus tersasar dan hanyut dengan godaan syaitan, yang sentiasa cuba memanipulasikan kehendak nafsu al-ammarah manusia.
Iman perlu dimantapkan dan perbaharui dari semasa ke semasa. Keimanan perlu dibaja. Hal ini seperti maksud hadis Rasulullah: “Sesungguhnya iman menjadi lusuh dalam diri salah seorang kamu, maka pohonlah kepada Allah supaya memperbaharui iman dalam hati kamu." (Riwayat al-Thabrani)
Iman juga perlu dihayati untuk merasakan kemanisannya. Kemanisan iman hanya akan dapat dinikmati jika ia sentiasa dibaja dan disirami.
Antara mekanisme memantapkan iman untuk merasakan kemanisannya adalah melalui ibadat yang dilakukan pada waktu malam. Kelebihan beribadat pada sepertiga malam ini banyak dijelaskan dalam al-Quran. Maksud firman Allah dalam surah al-Muzammil, ayat 6: "Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan."
Kesimpulannya, iman perlu difahami, dinilai dari semasa ke semasa serta dibaja dan dihayati. Langkah ini perlu dilakukan secara berterusan demi mencapai nikmat kemanisan iman itu.
Keimanan tidak semestinya sesuatu yang hanya dikatakan bertempat di hati tanpa perlu difahami ertinya dan merasakan kemanisannya. Seterusnya, kemanisan iman yang akan menggerakkan kita mematuhi segala perintah Allah dengan penuh keikhlasan.
No comments:
Post a Comment