sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Thursday, June 4, 2009

AKHLAK MUSLIM

"Jagalah dirimu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda menjadi
manusia yang paling 'abid, dan terimalah dengan penuh kerelaan akan
pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada anda nescaya anda akan
menjadi manusia yang paling kaya, berbudilah kepada jiran anda, nescaya
anda menjadi mu'min yang sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa
yang dicintai anda untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi seorang
muslim yang sebenar, dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa
itu akan mematikan hati".

(diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abu Hurairah)

Tujuannya :
Dalam hadis ini dibentang kepada kita beberapa garis panduan akhlak
muslim yang kita perlu hayati dan laksanakan dalam kehidupan agar dapat
satu bentuk hidup yang luhur, yang penuh kedamaian dan kesejahteraan.

1) Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan

Untuk mencapai darjat para muttakim, siddiqin, a'bidin dan solihin,
seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari
terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan haram seperti makanan,
minuman, perbuatan, tutur kata, .pendengaran, penglihatan dan tindakan.

Usaha bagi menghindari perkara-perkara ini amatlah rumit kerana ia
biasanya begitu hebat mempersonakan keinginan dan kecenderungan hati.

2 Relakan pengurniaan dari Allah

Untuk mencapai ketenteraman jiwa, seseorang muslim itu haruslah
membentuk sifat-sifat qanaah (berpada) sifat tidak tamak dan haloba dalam
memenuhi keperluan hidup apabila ia merasa cukup dan rela serta
bersyukur maka ia merasa dirinya selaku orang yang paling kaya di dunia.

3. Hubungan baik dengan jiran

Untuk mencapai ketenteraman sosial setiap Muslim haruslah menjalankan
hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah
kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli keluarga
yang lain.

4. Cintakan orang lain

Islam adalah agama kasih sayang dan damai dari kekusutan hidup. Oleh itu
setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih sayang terhadap orang lain
sama dengan perasaan kasih terhadap dirinya sendiri. Apa yang tidak
disukainya berlaku kepada dirinya harus pula tidak disukainya berlaku
pada orang lain.

5. Jangan banyak ketawa

Ketawa pernah disifatkan sebagai "ubat jiwa". Akan tetapi sesuatu ubat
akan berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan seseorang
itu tidak serius dalam kerja dan kehidupannya dan membuatkan hati
nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya tidak tajam dengan
banyak ketawa. Barangsiapa banyak ketawa di dunia dia akan menangis di
akhirat dan barangsiapa menangis di dunia dia akan ketawa di akhirat.

No comments:

Post a Comment