sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Friday, February 5, 2010

KASIH SAYANG BERMULA DARI RUMAH...

Artikel di mStar Online
Ruangan Suara Alternatif

Jumaat Februari 5, 2010
LEPAS PANDANG...Oleh MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH



DIDIKAN awal sepatutnya bermula di rumah bukannya di sekolah mahupun rumah asuhan kanak-kanak atau institusi-institusi yang lain. Pelbagai masalah akibat keruntuhan akhlak berlaku dan terpampang di muka hadapan media cetak mahupun media elektronik boleh dikatakan saban hari.

Anak-anak hari ini tampak kehausan kasih sayang gara-gara keghairahan ibu-bapa dalam mengejar keduniaan. Harta diutamakan dan tanggungjawab hakiki diabaikan.

Sesungguhnya Islam amat memperhatikan budi pekerti mulia yang dilakukan oleh orang tua-tua untuk mengajarkannya kepada anak-anak kecil dalam mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan keredhaan Allah di akhirat.

Sepatutnya anak-anak kecil mendapat bimbingan akhlak dan nilai-nilai daripada orang-orang yang berada di sekililing mereka khususnya orang yang terdekat dengan mereka iaitu ibu-bapa mereka.

Tetapi, apa yang kelihatan pada hari ini adalah disebaliknya. Anak-anak telah dihantar ke rumah asuhan dari pagi hinggalah ke malam. Apa yang mengejutkan ialah ada ibu-bapa yang menghantar anak mereka bermula seawal jam 6.00 pagi dan mengambil anak mereka semula selewat jam 10.00 malam.

Dengan anaknya yang masih berpakaian seragam sekolah, wajahnya yang lesu keletihan jelas menunjukkan anak tersebut kurang diberikan tumpuan dan kasih sayang.

Cuba imbas kembali zaman nenek moyang kita di mana pada ketika itu dengan berbekalkan keluarga yang besar, tetapi tanggungjawab sebagai ibu-bapa dalam memberi tunjuk-ajar, bimbingan agama, serta balaian kasih sayang sesekali tidak terabai. Walaupun ada di antara mereka yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, anak-anak mereka tetap menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra, dari Nabi SAW, baginda bersabda ertinya: “Muliakanlah anak-anakmu dan didiklah mereka dengan baik.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Diriwayatkan dari Jabir Ibn Samurah, ia berkata, dengan sabda Rasullulah SAW yang bermaksud: “Pendidikan seseorang kepada anaknya lebih baik baginya daripada bersedekah dengan satu sha’ makanan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kedua-dua hadis ini, jelas menunjukkan bahawa ibu-bapa wajib menjadi teladan yang baik bagi anak-anak mereka supaya nasihat serta pendidikan awal mereka dapat diterapkan dalam sanubari anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak kecil perlu dibukakan minda serta penglihatan mereka dalam menampak dan menyucikan agama Allah seterusnya mengajak mereka ke arah amal makruf nahi mungkar.

Perilaku yang baik perlulah ditanam dalam hati sanubari atau jiwa anak-anak sehingga sebati dengan kehidupan harian. Cuba kita lihat apa yang berlaku saban hari, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara hancur dalam kancah kedurjanaan.

Ramai yang lemas dalam menjalani kehidupan sebagai seorang insan yang bergelar Muslim. Pelbagai gejala yang tidak diingini telah berlaku. Apa yang menyedihkan kita ialah ada di kalangan mereka jauh lebih jahil jika dibandingkan dengan zaman Abu Jahal.

Dahulunya bayi perempuan ditanam hidup-hidup tetapi apa yang berlaku mutakhir ini ialah bayi tanpa mengira jantinanya dibuang di merata tempat seperti di dalam lubang tandas, tong sampah, sungai, longkang dan sebagainya. Ternyata di sini, manusia pada zaman kini lebih zalim dan jahil jika hendak dibandingkan ketika zaman jahiliyah dahulu.

Sedangkan dalam Al-Quran jelas menyatakan bahawa Allah melarang umatnya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar seperti berzina, berjudi, meminum arak, mencuri dan membunuh. Tetapi perbuatan ini bagaikan sudah menjadi makanan harian buat generasi masa kini. Tampak sekali segala perintah Allah telah ditolak begitu sahaja.

Masih bolehkah kita gelarkan golongan ini sebagai manusia atau lebih layak digelar sebagai binatang? Sedangkan haiwan mempunyai perasaan kasih sayang akan anak-anak mereka, inikan pula dengan makhluk yang bergelar manusia. Di mana letaknya perasaan kasih sayang serta keprihatinan yang patut ada pada diri mereka?

Allah memberikan kita akal untuk berfikir secara waras dan bukannya bertindak secara membabi buta sehinggakan sanggup melakukan perkara yang terlarang di sisi agama.

Walaupun berbekalkan benih yang baik, tanpa dibaja dan disirami dengan belaian, didikan agama serta pembentukan akhlak yang betul, maka takkan sempurna kehidupan bakal pemimpin atau peneraju negara ini.

Pada pendapat saya, kasih sayang hanya diperolehi daripada ‘kami’ bukannya ‘aku’, oleh itu, setiap insan perlulah bergantung kepada ‘kami’ ataupun keluarga. Tanpa kasih sayang serta bimbingan yang betul daripada keluarga kandung sendiri, maka akan terjadilah perkara sebegini.

Anak-anak akan memberontak di kemudian hari apabila berada pada tahap kemuncak setelah merasakan diri mereka terabai.

Surah: 42. Asy Syuurah 23: “Itulah kurnia yang Allah menggembirakan hamba-hambaNya yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Katakanlah: ‘Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.’ Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.”

Tapi, perlu diingatkan bahawa kasih sayang yang dikatakan di sini bukannya dengan memberi kemewahan atau mengikuti apa kehendak anak-anak kita. Tetapi sentuhan atau belaian yang perlu diutamakan.

Oleh itu, luangkanlah lebih masa bersama mereka dalam menjamin kesejahteraan hidup bersama. Renung-renungkanlah seketika. Jangan biarkan anak-anak kita ketandusan kasih sayang serta didikan. Jangan pula kita menyesal di kemudian hari apabila anak-anak kandungan sendiri berada di landasan yang songsang.

Luruskanlah jalan hidup mereka sementara mereka masih rebung dan mudah untuk dilenturkan lagi. Wallahualam.

MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH adalah seorang tenaga pengajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam.

No comments:

Post a Comment