sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Monday, December 28, 2009

Perpaduan melalui Program Musyawarah

mStar Online: Selasa Disember 1, 2009
LEPAS PANDANG...Oleh MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH


Terlintas di hati untuk berkongsi pandangan selepas membaca satu artikel yang dipaparkan di laman web prihatin bertajuk “Program Musyawarah, Usrah Perpaduan - Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat. Sebagai anak muda, saya berpendapat bahawa pihak berkenaan patut menyahut seruan yang dikumandangkan oleh Warga Prihatin.

Saban hari, perpecahan demi perpecahan telah berlaku gara-gara perbezaan fahaman politik dalam negara kita.

Kini, rasanya adalah paling sesuai untuk para pemimpin duduk semeja, minum bersama untuk membincangkan tentang perpaduan sesama kaum mahupun umat.

Saya amat tertarik dengan satu kenyataan yang tercatat dalam artikel tersebut yang berbunyi; merendah diri adalah sifat terpuji, ia tidak mudah untuk dilakukan kecuali bagi orang yang berilmu dan tinggi budi pekerti.

Mengalah dalam pertentangan memberi ruang kita muhasabah diri, mengatur siasah dan kembali ke medan pertempuran dengan kemenangan.

Mengaku jahil membuat kita banyak diam, mendengar dan mengkaji sebagai proses untuk dipandaikan. Mengaku salah akan melembutkan hati manusia, mendapat keredhaan Allah dan akan mudah mendapat keampunanNya.

Itu semua tuntutan Islam terhadap sesama manusia, apatah lagi terhadap Allah yang Maha Berilmu, Maha bijaksana, Maha suci dari kesilapan, Maha tinggi dan berbagai-bagai Maha lagi.

Surah : 42. Asy Syuura 13: An Aqimuddiina wala tatafarraqu fih... - Tegakkanlah Diin dan jangan kamu berpecah belah tentangnya. Surah : 3. Ali 'Imran 103: Waktasimu bi hablillahi jami'a walatafarroku... berpegang teguhlah kamu pada tali (ikatan) Allah secara berjemaah dan jangan kamu berpecah belah.

Surah : 21. Al Anbiyaa' 92. Sesungguhnya ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka abdikanlah diri pada Aku.

Sesunguhnya perkataan ISLAM itu membawa pengertian kesejahteraan atau selamat. Tapi dengan apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, bagaimana kesejahteraan itu akan wujud angkara pergolakan yang sedang berlaku?

Di manakah letaknya Islam dalam diri kita? Bertenanglah, kasihanilah, fikirkanlah masa depan anak cucu yang bakal menerajui kegemilangan negara pada masa akan datang. Buanglah yang keroh, ambillah yang jernih.

Lupakanlah apa yang telah berlaku, tinggalkanlah segala perlakuan yang menjurus ke arah perpecahan. Ketepikan sejenak agenda peribadi dan parti, sahutlah agenda Ilahi.

Ramai berpendapat bahawa masyarakat kita lebih Islam jika dibandingkan dengan masa lalu. Apa yang dinampakkan ialah telah ramai wanita bertudung, ramai pula graduan yang berkelulusan pengajian Islam.

Tetapi keadaan sebenar adalah sebaliknya jika ditinjau atau diperhatikan dari dekat dan secara mendalam. Perkara ini mungkin agak pahit untuk dibincangkan, namun kepahitan tersebut tidak harus menjadi penghalang dalam mencari kebenaran berdasarkan keadaan sebenar.

Kita harus sedar daripada buaian mimpi. Kajilah paradoks ini sebelum ia menjadi semakin mudarat.

Negara sudah 52 tahun mencapai kemerdekaan. Wajarkah kita mengelarkan diri kita sudah merdeka? Bukalah minda, terimalah penyatuan.

Kita patut tahu membezakan tentang yang mana kaca yang mana permata, yang mana baik dan yang mana buruk. Sekiranya ada di antara mereka yang masih tidak dapat membezakannya, ini bermakna pemikiran mereka masih lagi dijajah.

Rakyat berada dalam delima dan tersepit bagaikan gajah sama gajah bertembung, pelanduk mati di tengah-tengah. Kalau rakyat itu dari golongan pelanduk tidak mengapa juga.

Tetapi bagaimana nasib golongan semut dan kancil yang terhimpit dan terpijak. Adakah kita ingin melihat negara kita musnah akibat daripada perpecahan yang berlaku?

Sedangkan sesama kaum atau seagama pun tidak dapat disatukan, bagaimana untuk menyatukan semua kaum yang ada di dalam Malaysia ini?

Setidak-tidaknya inilah pandangan dan suara anak muda yang tidak berpihak. Kini, sikap kemunafikan di dalam pelbagai bidang telah menular ke dalam budaya kita ekoran sikap dan pemikiran cetek kita terhadap agama serta mempolitikkan agama.

Tidak hairanlah mutakhir ini mulut yang mengatakan tentang kepegangannya pada tali ALLAH, mencemuh, mengutuk, menyindir saudara seagama dan menjadi pencetus kepada perpecahan umat.

Setiap hari kita melihat orang mengucap dua kalimah syahadah ketika bersolat. Tapi malangnya mereka langsung tidak yakin dan memperdulikan yang ALLAH memerhatikan setiap tindak tanduk mereka.

Tangan yang mengangkat takbir di khalayak ramai, juga sanggup menerima ganjaran yang bukan miliknya.

Surah : 3. Ali 'Imran 104. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.

Saya telah menghubungi penulis artikel ini, berkenaan sambutan program musyawarah ini.

Malang sekali, tidak ramai yang berani tampil dengan merendah diri, melupakan martabat yang ada buat seketika waktu untuk menyahut seruan perpaduan.

Suara rakyat perlu didengari kerana sesungguhnya kami di luar ini terasa dan nampak akan apa yang sedang berlaku sekarang. Sesuatu kejayaan itu akan tercapai dengan adanya perpaduan dan kerjasama sesama kita.

Sekali lagi saya sebagai golongan muda yang hanya mampu berkata-kata menyokong apa yang disarankan oleh Warga Prihatin - hentikanlah DEBAT, anjurkanlah MESYUARAT, agar negara dan rakyat mendapat berkat.

Rakyat Bersatu, Negara pasti Aman dan Maju.

Nota: Layarilah laman web : www.prihatin.net.my untuk mendapatkan gambaran jelas tentang program musyawarah ini.

No comments:

Post a Comment