sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Thursday, June 4, 2009

Wabak penyakit sekadar dugaan tahap keimanan

Wabak penyakit sekadar dugaan tahap keimanan
Oleh Lokman Ismail

WABAK penyakit adalah antara bala angkara kecuaian manusia. Setiap kejadian tidak berlaku tanpa sebab, melainkan mengikut sunatullah. Allah menurunkan bala bagi menyedarkan manusia agar tidak melakukan perbuatan menyalahi hukum, tabii alam dan undang-undang.

Setiap wabak tidak tersebar dengan sendiri, melainkan memperlihatkan unsur kecuaian manusia. Sikap tidak mementingkan kebersihan, mengambil makanan berbahaya, tidak mematuhi peraturan kawalan penyakit, melakukan perbuatan dosa dan tidak mensyukuri nikmat Allah adalah antara punca berlaku wabak itu.

Islam menggariskan kaedah mencegah wabak penyakit daripada menular. Apabila wabak penyakit menular di satu kawasan, maka penduduknya dilarang keluar ke tempat lain. Ia bagi mengelak wabak itu tersebar ke kawasan lain. Penduduk dari tempat lain pula ditegah memasuki kawasan dilanda wabak bagi mengelak terkena penyakit.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku pada satu-satu tempat, maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sudah berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar daripadanya.” (Riwayat Bukhari).

Arahan terus kekal dalam kawasan dilanda wabak penyakit bukan menghukum dan tidak memberi peluang menyelamatkan diri. Tawakal dan mematuhi arahan penting bagi mengelak wabak penyakit menular di tempat lain. Lebih ramai menanggung akibatnya jika wabak merebak ke kawasan lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Seseorang hamba (Muslim) yang berada dalam satu-satu negeri yang terkena wabak taun, maka hendaklah dia tetap diam di dalamnya, jangan sekali dia lari keluar daripadanya. Hendaklah dia bersabar dan mengharapkan ganjaran Tuhan dan dalam hatinya dia berkeyakinan bahawa dia tidak akan terkena sesuatu kecuali apa yang telah ditentukan Allah untuknya. Baginya pahala seperti pahala orang yang mati syahid.” (Hadis riwayat Bukhari).

Wabak penyakit adalah satu ujian terhadap manusia. Ia dapat memberi peringatan dan menguji sejauh mana penerimaan terhadap apa yang berlaku terhadap diri dan masyarakatnya.

Orang beriman menganggap wabak penyakit mempunyai hikmah di sebaliknya. Semakin banyak ujian dihadapi memberi peringatan agar lebih menghampirkan diri kepada Allah. Oleh itu, amat wajar melahirkan rasa bersyukur dapat meneruskan kehidupan, biarpun berdepan dengan pelbagai wabak penyakit.

Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang mengurniakan nikmat tidak terhitung banyaknya. Firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.” (Surah Ibrahim, ayat 34)

Kehidupan ini penuh dengan cubaan yang menguji ketakwaan dan keimanan. Hanya hamba yang benar-benar yakin kepada janji Allah berjaya menghadapi setiap ujian dengan tenang. Allah mengenakan lebih banyak ujian bertujuan memberi lebih banyak kebaikan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Dia akan memberi musibah kepadanya.” (Riwayat Bukhari).

Oleh itu, setiap wabak penyakit yang melanda perlu dilihat dari perspektif sebenar mengikut ajaran Islam. Wabak penyakit bukan tanda sial bulan, dibawa burung hantu atau berkaitan diri seseorang yang dianggap membawa sial.

Hakikatnya, wabak penyakit diturunkan Allah bertujuan menguji tahap keimanan. Orang yang beriman tetap dikenakan ujian, biarpun tidak melakukan dosa. Apabila Allah menurunkan bala ke atas sesuatu kaum atau penduduk di sesuatu tempat, semua penduduk terkena bala itu sama ada orang beriman mahupun yang melakukan dosa.

Sesungguhnya jangan ada yang buruk sangka terhadap Allah. Orang tidak beriman biasanya merintih dan mempersoalkan mengapa Allah menurunkan kesusahan terhadap dirinya.

Orang bersabar dan reda terhadap ujian mendapat balasan besar. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Jika kamu sabar, bagi kamu syurga.”

Allah menurunkan sesuatu wabak penyakit sebagai ujian mengingatkan mengenai kekuasaan-Nya, selain sebagai peringatan. Allah berkuasa menentukan apa yang diingini. Dia berkuasa menarik balik nikmat yang dikurniakan pada bila-bila masa.

Orang beriman berdepan wabak penyakit dengan meningkatkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah. Kekuasaan Allah tidak mampu ditandingi oleh sesiapa. Bagaimanapun, Allah tidak menghalang manusia daripada berusaha menghindarkan diri terkena wabak penyakit. Usaha dan doa tidak bertentangan dengan ketetapan qada dan qadar.

Orang beriman tetap cekal menghadapi sebarang wabak yang menimpa sambil berdoa agar dibebaskan daripadanya. Dia bertaubat memohon keampunan kalau wabak itu sebagai sebahagian balasan atas kecuaian dilakukan.

Firman-Nya bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, mereka akan berdoa kepada Tuhannya serta bertaubat kepada-Nya.” (Surah ar-Rum, ayat 33)

Rasulullah bersabda bermaksud: “Tiada musibah yang Allah timpakan ke atas seorang Muslim kecuali Allah akan mengkafarahkan denganya dosanya hatta ditusuk duri.” (Riwayat Bukhari).

Allah menurunkan bala sebagai peringatan agar manusia menghargai setiap apa yang dikurniakan Allah. Segala punca bala disebabkan sikap manusia sendiri.

Firman Allah bermaksud: “Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah daripada Allah dan apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri.” (Surah an-Nisa, ayat 79).

Wabak penyakit yang menular bukan satu pembalasan yang besar. Ia satu musibah kecil. Sekiranya manusia tidak segera memperbetulkan kesalahan yang dilakukan, pasti musibah lebih yang besar diturunkan.

Wabak yang kecil memberi peluang manusia insaf dan membetulkan diri. Inilah masa terbaik untuk kita muhasabah diri. Allah sentiasa memaafkan dosa hamba yang bertaubat.

Firman Allah bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30).

Oleh itu, kita tidak boleh mudah menuding jari menyalahkan pihak lain menyebabkan wabak penyakit. Setiap orang perlu berusaha memperbaiki diri dan berusaha mencegahnya. Tidak ada kebahagiaan yang datang dengan hanya mengeluh dan cemas tidak menentu. Semua ketentuan Allah perlu diterima reda, sabar dan memohon keampunan kepada Allah.

No comments:

Post a Comment