sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Thursday, June 4, 2009

Muhammad SAW Utusan Terakhir: Sikap sederhana kekuatan ummah

Oleh Mohd Zamri Shafie

RASULULLAH SAW bersederhana dalam segenap kehidupannya. Kesederhanaan Baginda juga ditonjolkan dalam aspek pemakaian dan tempat tinggal. Nabi Muhammad mengenakan pakaian seperti yang dipakai oleh masyarakat sekitarnya.

Baginda menjahit pakaiannya sendiri, memenuhi undangan, membantu menyediakan keperluan orang yang lemah dan tidak mempunyai kemampuan. Semua sifat kerendahan hati ini adalah kesederhanaan yang tumbuh dari jiwanya yang suci.

Rasulullah amat mengambil sikap sederhana dan seimbang antara tuntutan agama dan dunia. Begitu juga keseimbangan kenikmatan jasad dan santapan roh.

Ketika Rasulullah melihat ada sahabat melampau dalam melakukan ibadah sembahyang, puasa dan qiamullail dengan mengabaikan hak jasad mereka, Baginda bersabda: “Badanmu punya hak terhadap dirimu, keluargamu punya hak terhadap dirimu, dan tetamumu punya hak terhadap dirimu. Maka, berikanlah hak kepada orang yang berhak menerimanya.” (Riwayat Bukhari).

Baginda juga menegur sahabat yang berhasrat untuk berpuasa sepanjang masa, sembahyang malam tanpa tidur dan tidak mahu berkahwin. Sabda Baginda bermaksud: “Aku ialah orang yang paling takut dan bertakwa kepada Allah daripada kamu. Sungguhpun begitu, aku berpuasa dan aku berbuka, aku bangun solat malam dan aku tidur, aku juga berkahwin wanita. Sesiapa yang lari daripada sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.” (Riwayat Bukhari).

Manusia lemah dan mempunyai kekurangan dari segi iman perlu bersifat sederhana dalam pengamalan dalam agama.

Islam menganjurkan bahawa amal baik yang hendak dilakukan hendaklah bersifat berterusan iaitu dengan penuh iltizam atau istiqamah. Ia tidak bersifat sementara kerana amal yang dilaksanakan secara berterusan akan memancarkan nur iman dalam dirinya.

Jika seseorang mengetahui sesuatu amal kebaikan seperti solat sunat baik dilakukan, hendaklah melakukannya secara berperingkat. Ia agar amalan itu dapat menyelami ke dalam jiwanya dan sebati dengan dirinya. Hal ini sesuai dengan fitrah kejadian manusia.

Begitu juga dengan pegangan akidah, umat Islam perlu bersikap sederhana kerana ia akan mencerminkan jiwa keIslaman tinggi yang mendapat keredaan di sisi Allah.

Sikap dan keperibadian begitu dipandang tinggi oleh umat Islam lain dan apabila musuh melihat mereka nescaya gerun serta gentar.

Kesederhanaan juga meliputi segala kefahaman mengenai agama dari segi akidah dan amaliah.

Sabda Rasulullah daripada Abi Amr dan ada dikatakan pula daripada Abi Amrah Sufian Bin Abdullah, katanya: “Aku bertanya kepada Rasulullah, wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku mengenai Islam satu perkataan yang tidak akan aku tanya lagi daripadanya, akan seorang yang lain daripada engkau. Sabda Baginda: “Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah.” (Riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment