sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Friday, December 3, 2010

Kenapa Tidak Rumah Tradisional Melaka?



SUARA ALTERNATIF (mStar Online)
Selasa Oktober 19, 2010


Kenapa Tidak Rumah Tradisional Melaka?
Oleh MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH

BILA disebut tentang Melaka, A Famosa, bangunan Stadthuys serba merah yang dilengkapi menara jam, Kota St. John, kinci air Kesultanan Melayu Melaka dan Memorial Pengiystiharan Kemerdekaan sudah tentu menjadi pilihan para pengunjung ketika bercuti di negeri yang bersejarah ini.

Tetapi pernahkan kita terfikir akan keunikan lain yang terdapat di sekitar negeri Melaka? Contohnya, Villa Sentosa iaitu sebuah rumah yang terletak di Kampung Morten, yang merupakan satu-satunya kampung Melayu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka.

Unik

Dibina pada suku pertama abad ke-20 dengan gaya reka bentuk sezaman, rumah itu kemudian dijadikan sebuah muzium persendirian oleh pemiliknya, Haji Hashim Dato Demang Haji Abdul Ghani. Villa Sentosa telah dikelilingi oleh rumah-rumah Melayu tradisional yang unik dan dihiasi oleh pelbagai lanskap dan hiasan lampu yang berwarna-warni.

Kali ini, penulis ingin mengalih sekilas pandangan para pelancong agar tidak hanya tertumpu pada bangunan bersejarah yang dibina ketika era penjajahan Inggeris, Belanda dan Portugis terdahulu. Keunikan rumah tradisional Melaka yang dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu dan bercirikan bumbung atap, tangga batu yang bersalutkan jubin serta ukiran kayu sekeliling rumah juga patut ditonjolkan kepada para pengunjung yang melawat Melaka.

Tangga batu pastinya menjadi ciri-ciri utama tarikan pengunjung asing di samping ukiran-ukiran kayu di bawah serambi serta cara pemasangannya yang unik. Kebiasaannya, halaman rumah akan diperindahkan dengan pelbagai hiasan landskap yang cantik. Seni warisan yang tinggi nilai estetika ini telah direka dan dibina oleh masyarakat Melayu lama yang berkemahiran serta mempunyai daya kreativiti yang tinggi.

Marcapada ini, rumah tradisional Melaka telah menjadi sebahagian daripada seni bina warisan yang sangat tinggi nilainya dan perlu dipelihara dari zaman ke zaman.

Pameran

Untuk mempromosikan rumah tradisional di mata pengunjung, satu pameran Galeri Foto bertemakan “Rumah Tradisional Melaka” anjuran pelajar semester 3 Fakulti Komunikasi dan pengajian Media, UiTM Alor Gajah, Melaka telah berlangsung di Fiesta Komunikasi pada 9-10 Oktober lalu bertempat di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Pameran ini telah dirasmikan oleh Datuk Abd Wahab Abd Latif, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia. Menurut penasihat Galeri Foto ini, tema Rumah Tradisional Melaka dipilih atas dasar untuk menerapkan nilai-nilai kesenian Melayu yang tersirat di sebalik ukiran kayu serta corak-corak susunan jubin pada tangga setiap buah rumah dalam kalangan para pelajar.

Ia juga dapat memupuk sikap keprihatinan mereka agar tidak sesekali mengubah sebarang rupa bentuk atau motif rumah tradisional dan menghargai keunikan serta keistimewaan rumah tradisional yang tiada tolok bandingannya. Pengarah Kampus UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr Mizan Hitam ternyata kagum dan berpuas-hati dengan program ini.

“Ini menjadi titik permulaan kepada para pelajar untuk menonjolkan kreativiti dan karya mereka di mata antarabangsa. Para pelajar bukan sahaja perlu peka akan penghasilan karya yang bermutu tinggi, malahan mereka juga perlu menghayati kesenian yang terdapat pada rumah tradisional Melayu Melaka,” katanya.

Teruja

Para pengunjung ternyata teruja melihat koleksi gambar hasil inspirasi para pelajar yang secara tidak langsung telah mempromosikan Melaka sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja dikenali dengan sejarahnya, malah kaya dengan tinggalan seni ukiran kayu yang unik serta budaya Melayu Melaka selepas penjajahan Inggeris.

Kehadiran pengunjung dalam dan luar negara membuktikan kejayaan pameran Galeri Foto yang julung-julung kali diadakan di luar kampus. Kejayaan meraih hampir 3,000 pengunjung ke khemah Galeri Foto sepanjang dua hari program ini berlangsung menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk menonjolkan lagi bakat mereka pada masa akan datang.

Pameran ini bukan sahaja menjadi landasan dalam memperkenalkan keunikan senibina rumah tradisional Melaka kepada orang ramai, malahan telah memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada para pelajar dalam memupuk nilai ketimuran berdasarkan pada gambar-gambar yang telah mereka hasilkan.

Penulis difahamkan, oleh kerana maklum balas positif yang diterima selepas pameran galeri foto ini, koleksi gambar projek tersebut akan dibukukan untuk rujukan dan manfaat orang ramai.

No comments:

Post a Comment