sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Wednesday, December 8, 2010

SUARA ALTERNATIF (mStar Online)

Rabu Disember 8, 2010

LEDAKAN ICT BOLEH MENDATANGKAN TEKNOSTRES KEPADA PARA GURU

GURU yang berinovatif serta berkualiti adalah pemangkin kecemerlangan pendidikan dan hakikat ini telah menagih perubahan di kalangan guru dalam merealisasikan hasrat dan aspirasi sistem pendidikan negara dalam melahirkan generasi yang serba boleh sejajar dengan zaman permodenan.

Lantaran itu, pelbagai tuntutan telah dibuat ke atas guru dan menyebabkan tanggungjawab yang diamanahkan seakan menjadi satu bebanan kepada mereka. Hari ini, para guru terpaksa berhadapan dengan kadar perubahan dalam dunia pendidikan sehingga wujudnya bebanan yang keterlaluan.

Satu perkembangan yang amat ketara dalam dunia masa kini apabila berlakunya ledakan teknologi maklumat hari demi hari. Dengan adanya kemajuan dalam telekomunikasi, komputer yang dihubungkan dengan jaringan Internet telah membolehkan banyak maklumat diperolehi dengan cepat.

Inovasi dalam teknologi maklumat ini dapat menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Negara yang kini sedang menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan semasa dari segi dalaman dan luaran akibat daripada kesan globalisasi, libralisasi dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology, ICT) yang sekaligus akan memberi impak yang ketara terhadap sistem pendidikan negara.

Memandangkan ICT merupakan penentu utama dalam proses pembangunan bagi meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai, usaha demi usaha telah dipergiat untuk mengarusperdanakan akses kepada perkhimatan dan kemudahan secara meluas serta menggalakkan penerimaan dan penggunaan ICT dalam semua aspek kehidupan.

Penggunaan ICT di sekolah telah dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengetahuan dan kemahiran serta kemudahan dan kekangan di sekolah. Namun, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa kepercayaan guru berkaitan penggunaan teknologi dalam kerja-kerja seharian mereka di sekolah merupakan faktor penentu dalam kemampuan guru mengintergrasikan teknologi tersebut.

Para guru juga masih berada pada tahap perlu belajar untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan teknologi.

Dalam konteks ini, tidak semua guru boleh menerima atau mengikuti perubahan sesuatu teknologi dengan hati yang terbuka. Sudah tentu ada di kalangan mereka yang sukar untuk menerima teknologi baru di persekitaran mereka dan menyebabkan mereka mengalami teknofobia. Selain itu, ia juga mungkin disebabkan kerana mereka telah serik, takut, atau fobia daripada menggunakan teknologi.

Perasaan takut, bimbang, rungsing, serik, atau fobia ini merupakan antara impak negatif teknologi ke atas tindakan, fikiran, tingkahlaku, dan fisiologi badan individu dan menurut sarjana Rosen dan Weil (1997) melalui bukunya yang bertajuk “Coping with technology at work, home and play” ianya adalah petanda kepada gejala berlakunya teknostres.

Pada peringkat awal, istilah khusus yang menunjukkan tekanan akibat teknologi dirujuk sebagai teknofobia (technophobia), siber fobia (cyberphobia), komputer fobia (computerphobia), kebimbangan komputer (computer anxiety), tekanan komputer (computer stress), dan juga perubahan sikap negatif terhadap komputer.

Istilah teknostres hanya mula diperkenalkan oleh sarjana Brod pada tahun 1984 di dalam bukunya yang bertajuk “Technostress: The Human Cost of The Computer Revolution.” Teknostres merupakan satu penyakit adaptasi moden yang disebabkan oleh ketidakupayaan seseorang individu untuk menampung keperluan teknologi komputer terkini dengan cara yang sihat dan betul.

Dalam usaha memperkukuhkan asas bagi pencapaian yang memberangsang berasaskan pengetahuan, penggunaan teknologi secara strategik menjadi semakin penting selaras dengan tumpuan negara ke arah pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi seperti mana yang dinyatakan dalam RMK9/RMK10 sebelum ini.

Usaha giat dijalan untuk merapatkan jurang digital dan memperluaskan rangkaian komunikasi bagi memastikan akses kepada perkhidmatan dan maklumat yang lebih setara di kalangan para pengguna. Kebiasaannya keberkesanan terhadap penggunaan teknologi maklumat adalah bergantung kepada keterbukaan warga pendidik dalam penerimaan teknologi maklumat sebagai elemen pengajaran dan pembelajaran yang dirancangkan oleh mereka.

Warga pendidik contohnya guru yang menjadi nadi dan tulang belakang dalam menjana keberkesanan pendidikan secara keseluruhan. Jika dahulunya kurang guru di Malaysia menggunakan Internet, tapi kini bilangannya yang mengakses ke Internet sudah semakin meningkat malahan ada di antara mereka menganggap bahawa teknologi maklumat merupakan sesuatu yang perlu untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka.

Perkembangan pesat dalam penggunaan teknologi maklumat berasaskan pendidikan merupakan satu landasan yang cerah untuk menjadikan pendidikan bertaraf dunia. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi juga mampu mendatangkan kesan negatif kepada individu dan menyebabkan berlakunya teknostres.

Para sarjana juga menyatakan bahawa teknologi telah menjadi keperluan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Setelah mencapai di satu tahap yang maksimum, ia boleh menyebabkan timbulnya satu penyakit atau kebimbangan terhadap teknologi dalam kehidupan masyarakat moden baik di tempat kerja, di rumah, atau berada di persekitaran sosial. Faktor inilah yang dikenali oleh para sarjana psikologi sebagai tekanan akibat teknologi atau teknostres.

Teknostres disifatkan sebagai reaksi individu terhadap teknologi dan bagaimana individu tersebut berubah akibat daripada pengaruh teknologi yang dihadapi atau juga yang berada sekeliling mereka. Individu tersebut biasanya berubah dari segi luaran dan dalaman akibat daripada teknologi dan biasanya perubahan ini bersifat negatif terhadap fizikal, sosial, dan emosi seseorang.

Kesan daripada teknostres sudah pasti akan menjejaskan imej dan reputasi sesebuah sekolah apabila para guru yang merupakan mekanisme saluran penyampaian ilmu mengalami gejala ini pada tahap yang tinggi. Oleh itu, pihak berkuasa perlu fikirkan satu jalan penyelesaian dalam mengurangkan atau mencegah daripada gejala ini menjadi semakin kronik sehinggakan boleh menjejaskan prestasi bakal-bakal peneraju negara.

Sesungguhnya perlu diingatkan di sini bahawa sesiapa sahaja yang menggunakan teknologi, pasti akan mengalami teknostres dalam diri mereka secara disedari mahupun tidak.

Friday, December 3, 2010

Kenapa Tidak Rumah Tradisional Melaka?



SUARA ALTERNATIF (mStar Online)
Selasa Oktober 19, 2010


Kenapa Tidak Rumah Tradisional Melaka?
Oleh MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH

BILA disebut tentang Melaka, A Famosa, bangunan Stadthuys serba merah yang dilengkapi menara jam, Kota St. John, kinci air Kesultanan Melayu Melaka dan Memorial Pengiystiharan Kemerdekaan sudah tentu menjadi pilihan para pengunjung ketika bercuti di negeri yang bersejarah ini.

Tetapi pernahkan kita terfikir akan keunikan lain yang terdapat di sekitar negeri Melaka? Contohnya, Villa Sentosa iaitu sebuah rumah yang terletak di Kampung Morten, yang merupakan satu-satunya kampung Melayu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka.

Unik

Dibina pada suku pertama abad ke-20 dengan gaya reka bentuk sezaman, rumah itu kemudian dijadikan sebuah muzium persendirian oleh pemiliknya, Haji Hashim Dato Demang Haji Abdul Ghani. Villa Sentosa telah dikelilingi oleh rumah-rumah Melayu tradisional yang unik dan dihiasi oleh pelbagai lanskap dan hiasan lampu yang berwarna-warni.

Kali ini, penulis ingin mengalih sekilas pandangan para pelancong agar tidak hanya tertumpu pada bangunan bersejarah yang dibina ketika era penjajahan Inggeris, Belanda dan Portugis terdahulu. Keunikan rumah tradisional Melaka yang dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu dan bercirikan bumbung atap, tangga batu yang bersalutkan jubin serta ukiran kayu sekeliling rumah juga patut ditonjolkan kepada para pengunjung yang melawat Melaka.

Tangga batu pastinya menjadi ciri-ciri utama tarikan pengunjung asing di samping ukiran-ukiran kayu di bawah serambi serta cara pemasangannya yang unik. Kebiasaannya, halaman rumah akan diperindahkan dengan pelbagai hiasan landskap yang cantik. Seni warisan yang tinggi nilai estetika ini telah direka dan dibina oleh masyarakat Melayu lama yang berkemahiran serta mempunyai daya kreativiti yang tinggi.

Marcapada ini, rumah tradisional Melaka telah menjadi sebahagian daripada seni bina warisan yang sangat tinggi nilainya dan perlu dipelihara dari zaman ke zaman.

Pameran

Untuk mempromosikan rumah tradisional di mata pengunjung, satu pameran Galeri Foto bertemakan “Rumah Tradisional Melaka” anjuran pelajar semester 3 Fakulti Komunikasi dan pengajian Media, UiTM Alor Gajah, Melaka telah berlangsung di Fiesta Komunikasi pada 9-10 Oktober lalu bertempat di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Pameran ini telah dirasmikan oleh Datuk Abd Wahab Abd Latif, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia. Menurut penasihat Galeri Foto ini, tema Rumah Tradisional Melaka dipilih atas dasar untuk menerapkan nilai-nilai kesenian Melayu yang tersirat di sebalik ukiran kayu serta corak-corak susunan jubin pada tangga setiap buah rumah dalam kalangan para pelajar.

Ia juga dapat memupuk sikap keprihatinan mereka agar tidak sesekali mengubah sebarang rupa bentuk atau motif rumah tradisional dan menghargai keunikan serta keistimewaan rumah tradisional yang tiada tolok bandingannya. Pengarah Kampus UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr Mizan Hitam ternyata kagum dan berpuas-hati dengan program ini.

“Ini menjadi titik permulaan kepada para pelajar untuk menonjolkan kreativiti dan karya mereka di mata antarabangsa. Para pelajar bukan sahaja perlu peka akan penghasilan karya yang bermutu tinggi, malahan mereka juga perlu menghayati kesenian yang terdapat pada rumah tradisional Melayu Melaka,” katanya.

Teruja

Para pengunjung ternyata teruja melihat koleksi gambar hasil inspirasi para pelajar yang secara tidak langsung telah mempromosikan Melaka sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja dikenali dengan sejarahnya, malah kaya dengan tinggalan seni ukiran kayu yang unik serta budaya Melayu Melaka selepas penjajahan Inggeris.

Kehadiran pengunjung dalam dan luar negara membuktikan kejayaan pameran Galeri Foto yang julung-julung kali diadakan di luar kampus. Kejayaan meraih hampir 3,000 pengunjung ke khemah Galeri Foto sepanjang dua hari program ini berlangsung menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk menonjolkan lagi bakat mereka pada masa akan datang.

Pameran ini bukan sahaja menjadi landasan dalam memperkenalkan keunikan senibina rumah tradisional Melaka kepada orang ramai, malahan telah memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada para pelajar dalam memupuk nilai ketimuran berdasarkan pada gambar-gambar yang telah mereka hasilkan.

Penulis difahamkan, oleh kerana maklum balas positif yang diterima selepas pameran galeri foto ini, koleksi gambar projek tersebut akan dibukukan untuk rujukan dan manfaat orang ramai.

Kajian Dapati Amaran Bergambar Pada Kotak Rokok Tidak Menakutkan Perokok

SUARA ALTERNATIF (mStar Online)
Selasa Mei 18, 2010


Kajian Dapati Amaran Bergambar Pada Kotak Rokok Tidak Menakutkan Perokok

ISLAM amat menggalakkan cara hidup yang sihat dan sempurna, beradap dan berakhlak mulia. Sebarang bentuk perbuatan yang tercela yang menjurus ke arah sifat-sifat mazmumah adalah dilarang sama sekali dalam Islam.

Ini dapat dilihat dalam Surah: 66 At Tahrim 6: (yang bermaksud) “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”

Sesungguhnya Islam telah menetapkan bahawa kita sebagai makhluk di muka bumi ini dilarang untuk melakukan dhoral atau memudharatkan orang lain dan dhiror membalas perbuatan orang lain dengan kemudharatan.

Kajian-kajian sains dan perubatan sejak dari awal lagi telah membuktikan bahawa merokok membawa kesan negatif kepada perokok dan mereka yang berada di sekeliling perokok tersebut.

Namun begitu, hari ini para perokok tampak tidak menghindarkan tentang segala kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Pelbagai kempen telah dijalankan tetapi ternyata tidak mendapat sebarang sambutan atau reaksi yang positif daripada para perokok.

Malahan saban hari, kita boleh nampak di merata tempat orang merokok walaupun ada di antaranya merupakan kawasan larangan merokok. Muda-mudi juga tidak terkecuali daripada melakukan perkara ini. Semakin ramai menghisapnya semakin mahal harganya.

Islam amat menekankan kepada setiap umatnya supaya memelihara kesihatan jasmani dan rohani. Setiap benda yang digunakan itu mendatangkan kemudharatan kepada manusia adalah diharamkan seperti firman Allah Ta’ala:Surah : 2 Al Baqarah 195: (yang bermaksud) “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Menurut Jabatan Kesihatan Utah melalui Tobacco Prevention & Control Program, para doktor telah mengesahkan 37 jenis penyakit berbahaya hasil daripada rokok kerana terdapat lebih daripada 4,000 jenis bahan kimia berbahaya di dalamnya.

Antaranya, sebagai penyebab kepada berlakunya penyakit kanser yang merupakan pembunuh utama manusia di seluruh dunia. Nikotin yang terdapat dalam rokok merupakan sejenis dadah yang mengakibatkan ketagihan.

Nikotin adalah sama seperti heroin, amfetamin dan kokain yang bertindak di dalam otak dan memberikan kesan kepada sistem mesolimbik yang membawa kepada punca ketagihan. Nikotin juga merupakan salah satu punca serangan penyakit jantung dan strok.

Firman Allah Ta’ala:Surah : 7 Al A’raaf 157: (yang bermaksud); “…yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk .”

Mulai 1 Jun tahun lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan) 2008 telah menyarankan agar semua bungkusan rokok di pasaran mestilah memaparkan amaran kesihatan bergambar.

Adakah tindakan ini dapat mengurangkan jumlah perokok yang semakin meningkat saban hari? Adakah perokok akan takut dengan gambar yang dipamerkan di setiap kotak rokok tersebut?

Persoalan ini telah dijawab hasil daripada satu kajian yang dijalankan ke atas perokok-perokok tentang kesan daripada gambar yang dipamerkan.

Majoriti memberi respon bahawa amaran kesihatan bergambar itu tidak sedikitpun menakutkan atau menukar pemikiran mereka untuk berhenti daripada merokok. Gejala rokok kian melanda manusia, sehinggakan pihak berkuasa juga tidak dapat mengatasinya.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk berkempen bagi mengatasi gejala rokok. Kempen mengajak manusia untuk tidak menghisap rokok tetapi pada masa yang sama pokok tembakau telah ditanam oleh manusia sendiri.

Daun tembakau jika diberi kepada binatang ternakan manusia seperti kambing,lembu atau kerbau pun tidak ingin memakannya kerana daun itu akan memudharatkannya. Tetapi, apa yang menghairankan kita manusia pula yang sanggup mengambilnya sebagai makanan harian.

Amalan rokok juga merupakan satu pembaziran. Firman Allah;Surah: 17 Al Israa’ 26-27: (yang bermaksud) “…dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (membelanjakan) hartamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” Dalam konteks ini, peranan institusi keluarga amat penting dalam menangani isu ini. Ibu-bapa yang merokok bukan sahaja meletakkan anak-anak mereka kepada bahaya penyakit malahan juga mendedahkan anggota keluarga menghadapi pelbagai kemungkinan yang membabitkan kegencatan pertumbuhan fizikal dan minda.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan di atas, diharapkan semua manusia di muka bumi ini terutamanya umat Islam yang merokok dapat mengambil langkah segera menghentikan tabiat buruk yang membahayakan ini dengan apa cara sekalipun kerana ia boleh membawa kepada kebinasaan dan ditegah oleh agama.

Ingatlah bahawa merokok merupakan perbuatan membunuh diri secara beransur-ansur. Ia bukan sahaja boleh membinasakan diri individu si perokok malahan turut membinasakan orang lain yang berada di sekelilingnya.

Rasullulah SAW bersabda;“Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin ataupun menipunya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Bukti jelas menunjukkan bahawa merokok lebih banyak membawa keburukan jika dibandingkan dengan kebaikan. Rokok juga merupakan punca kerosakan kehidupan manusia. Sahutlah seruan Allah agar mengambil benda-benda yang baik dan meninggalkan benda-benda yang mendatangkan kemudharatan kepada masyarakat sejagat.

Yang baik datangnya dari Allah SWT dan yang buruk datang dari diri saya sendiri.

MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH merupakan pensyarah di UiTM Melaka.

1Malaysia 1Cerita

Published: Khamis Mac 25, 2010 MYT 7:14:00 PM
LEPAS PANDANG...Oleh MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH


1MALAYSIA...1CERITA

MALAYSIA terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Tidak kira Melayu, Cina, India, mahupun lain-lain kaum, kita berkongsi bahasa, makanan, pakaian, adat resam dan sebagainya tanpa ada perasaan rasa janggal sekalipun.

Semua kaum perlu beranggapan bahawa mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat di mana segalanya akan dinikmati bersama.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, Malaysia tetap di hati dan sanubari kita bersama.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan berpaksikan prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ bertepatan dengan cita rasa dan realiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara.

1Malaysia membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perpaduan adalah senjata utama dalam menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang bertujuan menggugat kesejahteraan negara.

1Malaysia juga akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, stabil dan maju dalam segenap bidang. Sejajar dengan ini, pada 15-19 Mac lalu, satu pameran Galeri Foto yang bertemakan 1Malaysia 1Cerita telah dianjurkan oleh pelajar semester ketiga Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM Melaka.

Galeri Foto ini merupakan satu landasan yang baik untuk para pelajar Komunikasi dan Media dalam menimba pengalaman baru terutamanya apabila melalui alam pekerjaan malah ia juga bakal membuka mata orang ramai terhadap pandangan golongan anak-anak muda tentang konsep 1Malaysia yang ingin kerajaan terapkan.

Semua pelajar semester tiga fakulti melibatkan diri dalam projek galeri foto ini dengan menyumbangkan hasil gambar-gambar mereka. Galeri ini diurus sepenuhnya oleh para pelajar sendiri dengan bimbingan tiga orang penasihat dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.

Segala usaha yang telah dicurahkan dalam proses penghasilan gambar dalam pameran ini telah menunjukkan betapa dedikasinya para pelajar dengan projek yang dilaksanakan.

Para pelajar Komunikasi dan Media juga sedar akan peranan mereka sebagai rakyat yang bertanggungjawab serta cuba mendalami kempen 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri bagi mencapai keharmonian negara.

Program yang penuh bermakna ini diadakan dengan harapan dapat mengubah persepsi orang ramai dengan idea baru serta mendapat sokongan berpandukan konsep 1Malaysia yang disampaikan melalui gambar dalam pembentukan Malaysia yang gemilang.

Sebagai rakyat yang prihatin, jawatan kuasa Galeri Foto berharap melalui program ini, mereka dapat mencetuskan perubahan baru dalam minda pengunjung.

Hasrat yang ingin dicapai melalui Galeri Foto ini walaupun hakikatnya semua telah ketahui tetapi di sebalik 1Malaysia itu terdapat cerita pahit manis yang telah dihadapi oleh setiap lapisan masyarakat.

Melalui gambar yang dipamerkan itulah yang akan membawa maksudnya tersendiri.

Kita bagaikan saudara, kitalah rakyat Malaysia yang berjiwa 1Malaysia. Lihatlah mereka yang berada di luar negara, apabila bertembung sesama warga Malaysia, akan riuh seolah-olah bertemu sahabat lama yang telah 'berkurun' tidak berjumpa walaupun hakikatnya mereka saling tidak mengenali.

Begitu hebat perpaduan rakyat Malaysia. Sebenarnya, kita sudah lama bersatu hanya kita alpa dan lupa tentangnya. Kita lupa yang kita semua adalah sama, serupa, kita semua adalah SATU...1Malaysia 1Cerita.

MUHAMMAD HAKIMI TEW ABDULLAH adalah salah seorang tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi awam.