sesungguhnya setiap penulisan yang dipaparkan di ruangan ini hanyalah sekadar untuk renungan bersama....

Friday, May 8, 2009

Amalan zikir jadikan jiwa tenang, selamat

MENGINGATI Allah atau zikrullah adalah amalan yang paling mulia melalui pergerakan lidah, kesedaran akal budi dan keinsafan hati dan jiwa.


Dengan mengingati Allah manusia akan berasa ketenangan jiwa kerana dia menyedari bahawa berada di samping Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang kepada hamba-Nya.

Apabila dia kembali kepada-Nya, maka sebenarnya dia kembali berpaut kepada asas yang kukuh. Manusia kadang-kadang gelisah menghadapi masa depan belum pasti keadaannya atau kadang-kadang berasa lemah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan yang mendepaninya.

Dalam hal ini, sekiranya orang yang beriman kepada Allah, mereka akan ingat bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas segala sesuatu, Allah Maha Melihat segala-galanya, Allah mampu mengatasi semua hal di dunia ini.

Dengan demikian akan tenanglah jiwanya. Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra'd, ayat 28)

Perasaan tenang itu wujud kerana jiwanya berhubungan langsung dengan Allah dan rasa selamat di bawah jagaan-Nya. Ketenangan hati orang yang beriman hasil daripada zikrullah itu adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh orang yang hatinya diliputi oleh kemanisan iman. Ia tidak boleh diungkapkan melalui kata-kata kepada orang yang tidak menghayatinya. Bahkan, ia sesuatu yang meresap ke dalam hati sehingga ia berasa tenang dan sejahtera dengannya.

Akhirnya ia merasai bahawa dia tidak keseorangan tanpa teman rapat di dunia ini. Pada hal apa yang ada di sekelilingnya adalah kawannya kerana semua ciptaan Allah dan di bawah jagaan-Nya belaka. Tidak ada orang yang paling menderita di dunia ini daripada mereka yang hilang ketenangan berdampingan dengan Allah.

Orang yang mengingati Allah di dunia ini memperolehi ketenangan jiwa, sementara di akhirat pula mendapat keampunan dan ganjaran yang besar. Firman Allah bermaksud: "... dan orang lelaki serta orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Rasulullah SAW adalah pimpinan dan model bagi orang yang berzikir. Baginda menyebut nama Allah pada setiap saat - ketika makan dan selesai daripadanya. Ketika minum atau sehabisnya. Ketika memakai pakaian dan menanggalnya, ketika masuk rumah dan keluar daripadanya, ketika hendak tidur atau bangun daripadanya.

Demikian juga ketika keluar untuk musafir atau baliknya, ketika menunggang kenderaan atau ketika memasuki sesebuah kampung. Begitulah ketika menziarahi kubur, ketika kemarau dan solat minta hujan, ketika angin bertiup kencang, ketika hujan lebat atau banjir.

Ringkasnya tidak berlaku sebarang keadaan atau kejadian melainkan hatinya sentiasa ingatkan Allah dan sekaligus lidahnya akan menyebut nama Allah dalam erti kata zikir kepada-Nya.

Dengan mengingati Allah akan tersedar hati orang yang beriman terutama ketika syaitan menjerumuskannya kepada dosa sehingga melakukannya, dia tidak biarkan dalam keadaan demikian.

Dia akan mengingati bahawa dia ada Tuhan yang sedia memberi keampunan dan menerima taubat, sebagaimana firman-Nya bermaksud: " Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, ayat 135].

Ingatkan Allah akan datang kepada seseorang ketika masa lapangnya. Alangkah banyaknya masa lapang yang kita gunakan untuk berseorang diri apa lagi pada waktu akhir malam yang sunyi sepi.

Apabila kita ingatkan Allah, mengambil pengajaran dan iktibar daripada apa yang terjadi di sekeliling akan menjadi lembut hati dan dengan tidak disedari mengalir air mata membasahi pipi, semoga Allah mengampunkan segala dosa kesalahannya. Ia kerana termasuk dalam golongan orang yang bakal mendapat bayangan teduh Allah pada hari kiamat nanti seperti disebut dalam hadis:"... seorang yang mengingati Allah ketika sunyi lalu menglir air matanya …."

Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).



Artikel ditulis oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

Thursday, May 7, 2009

Kelebihan bersegera solat Jumaat



JUMAAT hari sungguh mulia dan bermakna bagi umat Islam. Kemuliaan itu digambarkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:


"Sebaik-baik hari yang terbitlah matahari padanya ialah Jumaat. Pada hari itu, Nabi Adam dicipta dan dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dan tidak akan berlakunya kiamat melainkan pada Jumaat."

Sabda Rasulullah lagi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bermaksud: "Penghulu segala hari ialah Jumaat, ia sangat besar ertinya di sisi Allah daripada Aidilfitri dan Aidiladha."

Demikian kemuliaan Jumaat. Adapun kemuncak kepada kemuliaan Jumaat adalah perhimpunan raksasa di masjid bagi mendirikan solat fardu Jumaat secara berjemaah.

Bersolat Jumaat terlalu penting bagi setiap Muslim sehingga Rasulullah memberi ancaman keras terhadap orang yang meninggalkannya.

Menghadiri solat fardu Jumaat ertinya kita menuju ke masjid bagi menyahut seruan Allah yang meminta kita untuk sujud kepada-Nya. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenar)." (Surah al-Jumu’ah, ayat 9)

Oleh kerana menghadiri solat Jumaat adalah tanda kepatuhan terhadap Allah, maka ia hendaklah dilakukan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Hal ini supaya terserlah kepatuhan, di samping mendidik keperibadian kita.

Bagi memastikan kehadiran ke masjid beramai-ramai dapat memenuhi objektif sebenar, maka Rasulullah menunjukkan kepada kita amalan yang perlu dilakukan sebelum ke masjid, ketika dan selepas solat Jumaat.

Amalan sebelum solat Jumaat:

· Memperbanyakkan selawat pada malam dan Jumaat.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Perbanyakkanlah berselawat kepadaku pada malam dan hari Jumaat."

· Membaca surah al-Kahfi.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada Jumaat nescaya Allah akan menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat."

· Mandi sunat Jumaat dan datang awal ke masjid.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang mandi (sunat) pada Jumaat, kemudian pergi ke masjid pada waktu yang pertama, maka seolah-olah dia telah berkorban seekor unta. Barang siapa yang pergi pada waktu yang kedua, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kerbau. Barang siapa yang pergi pada waktu yang ketiga, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing. Barang siapa yang pergi pada waktu yang keempat, maka seolah-olah dia hanya mengorbankan seekor ayam betina. Barang siapa yang pergi pada waktu kelima, maka seolah-olah dia mengorbankan sebutir telur." (Hadis riwayat Imam Bukhari)

· Berwuduk dengan sempurna dan kemudian melakukan ibadat seperti membaca al-Quran dan sembahyang sunat tahyatul masjid, terutama apabila masuk ke dalam masjid.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke masjid menunaikan solat Jumaat dalam keadaan diam dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap khutbah yang disampaikan, maka diampunkan dosanya pada hari itu dan antara Jumaat yang akan datang." (Hadis riwayat Muslim)

Sangat duka cita apabila ada yang datang ke masjid ketika khatib sedang membaca khutbah. Perbuatan ini amat merugikan kerana khutbah adalah rukun wajib yang menjadikan syarat sahnya Jumaat.

· Mendapatkan saf pertama yang berdekatan imam.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang mandi sunat pada Jumaat dan bersegera berjalan menuju ke masjid, kemudian mengambil tempat berhampiran dengan Imam serta mendengar khutbah dengan penuh perhatian, maka setiap langkahnya akan memperoleh pahala menyamai ibadat puasa dan solat pada malamnya selama setahun."

Oleh itu, marilah kita mencari kelebihan kurnia Allah pada Jumaat.

Hendaklah segera ke masjid dan mengikut adab yang disenaraikan oleh Rasulullah kerana kelebihan dan fadilatnya terlalu besar.

BILA AL-QURAN MULA BEBICARA


Waktu engkau masih kanak-kanak.....

Kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu', Aku kau sentuh dalam keadaan suci

Aku kau pegang, Aku kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra….

Sekarang engkau telah dewasa.......
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku...
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......
Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pngisi setormu.

Kadang kala Aku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian , kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, aku engkau pendamkan.
Dulu...pagi-pagi...surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Di waktu petang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau......

Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau engkau abaikan dan engkau lupakan...

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku(Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan,radiomu selalu tertuju ke stasyen radio kesukaanmu
Mengasyikkan….

Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di Komputermu pun kau putar musik favoritmu.
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku......
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku

Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran telivisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekedar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkaupun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s..w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu............
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu

Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti...Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Qur'an",kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali…bacalah aku kembali setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu. Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.
Sentuhilah Aku kembali...

Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi....